Skip to main content

SERANGAN PANIK: TINDAKAN AWAL MENGATUR TENANG

Oleh: Dr. Fatin Hazdzirah, Pegawai Perubatan, Pusat Kesihatan Universiti

Serangan panik atau panic attack ialah keadaan di mana seseorang mengalami ketakutan atau keresahan yang melampau secara tiba-tiba, tanpa sebab yang jelas. Ia boleh berlaku di bilik kuliah, pejabat, asrama atau ketika berada di khalayak ramai. Walaupun tidak mengancam nyawa secara langsung, serangan ini boleh menyebabkan individu berasa seolah-olah akan pengsan, kehilangan kawalan, atau mengalami serangan jantung. Justeru, memahami cara membantu seseorang yang sedang mengalami serangan panik amat penting, khususnya dalam komuniti universiti yang padat dan dinamik.


Antara tanda-tanda lazim serangan panik termasuk jantung berdegup laju, sesak nafas, dada terasa sempit, tangan menggigil, peluh berlebihan, pening, atau rasa takut yang tidak berasas. Dalam situasi ini, perkara paling utama ialah bertenang dan memberi sokongan, bukan panik bersama. Orang sekeliling perlu memastikan individu tersebut berada di tempat yang selamat dan tenang, jauh daripada orang ramai atau suasana yang bising. Bimbing pesakit untuk duduk dalam posisi selesa, dan pastikan pernafasan mereka tidak terhalang. Elakkan mengerumuni atau menyoal dengan banyak soalan kerana keadaan itu boleh meningkatkan keresahan.


Langkah seterusnya ialah membantu individu tersebut mengawal pernafasan. Anda boleh membimbingnya supaya menarik nafas perlahan-lahan melalui hidung selama tiga saat, menahan seketika, dan melepaskan nafas perlahan-lahan melalui mulut selama tiga saat. Ulang kaedah ini beberapa kali sehingga kadar pernafasan menjadi lebih stabil. Jika individu tersebut kelihatan keliru atau takut, berikan kata-kata yang menenangkan seperti, “Anda selamat sekarang,” atau “Saya bersama anda, tarik nafas perlahan-lahan.” Sentuhan ringan seperti menepuk bahu dengan izin juga boleh membantu memberikan rasa sokongan dan kehadiran.


Sekiranya simptom berlarutan melebihi 10 minit, pesakit mula sukar bernafas, kehilangan kesedaran, atau menunjukkan tanda fizikal lain seperti sakit dada yang kuat, segera bawa ke fasiliti kesihatan terdekat atau hubungi ambulans universiti. Jangan biarkan individu tersebut bersendirian sepanjang episod panik berlaku. Dalam situasi seperti ini, kehadiran seseorang yang tenang dan berpengetahuan boleh memberi perbezaan besar antara kekal cemas dan kembali stabil.


Selepas keadaan pesakit reda, galakkan mereka mendapatkan penilaian lanjut di pusat kesihatan universiti untuk memastikan tiada masalah kesihatan lain yang tersembunyi seperti gangguan irama jantung, hipoglisemia, atau gangguan kecemasan berulang. Rawatan lanjut mungkin melibatkan kaunseling, terapi atau ubat-ubatan di bawah pemantauan pegawai perubatan.


Serangan panik boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Sama ada pelajar yang tertekan dengan peperiksaan, pensyarah yang dibebani tugasan, atau staf yang menghadapi tekanan kerja. Namun, reaksi orang di sekeliling memainkan peranan besar dalam menentukan sejauh mana keadaan itu dapat dikawal. Oleh itu, jadilah individu yang tenang, empati dan tahu cara membantu. Kadangkala, langkah sekecil menghulurkan kata-kata “anda tidak keseorangan” sudah cukup untuk menenangkan ribut di hati seseorang.