BANJIR DAN WABAK PENYAKIT BERJANGKIT
Fenomena banjir di Malaysia terutamanya di kawasan Semenanjung Malaysia dikaitkan dengan tiupan angin monsun timur laut yang melanda kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan Kawasan Barat Negeri Sarawak. Angin Monsun Timur laut secara relatifnya melanda kawasan ini di antara bulan November hingga Mac. Angin Monsun timur laut sering membawa fenomena banjir khususnya di Semenanjung Malaysia.
Banjir merupakan bencana alam yang boleh mencetuskan wabak penyakit berjangkit dan tidak mustahil mampu meragut nyawa sekiranya tidak di tangani dengan sempurna. Ketika situasi banjir melanda sesebuah kawasan, semua tangki septik di tenggelami air dan limpahan tinja keluar dan dibawa arus, begitu juga dengan kawasan longkang kecil yang menjadi kawasan saliran aktiviti air limbah (aktiviti memasak dan membasuh) yang tidak mengikut piawai turut melimpah di bawa air banjir.
Situasi agak membimbangkan sekiranya kawasan yang dilanda banjir mempunyai populasi tikus yang tinggi di mana situasi tinja dan urin tikus yang tercemar turut hanyut di bawa air. Selain itu limpahan najis dari kawasan penternakan yang tidak diurus dengan sempurna juga menimbulkan kebimbangan. Wabak penyakit berjangkit akibat implikasi banjir boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dalam jumlah yang ramai sekiranya tidak ditangani dengan sempurna.
Peningkatan kes seperti leptospirosis, meliodosis serta penyakit berjangkit yang lain, sama ada ketika banjir atau selepas fasa banjir adalah pemalar yang senantiasa dinilai secara menyeluruh oleh pihak berwajib bagi menggerakkan tindakan kawalan yang efisien.
Masyarakat di Malaysia perlu mengambil pendekatan bijak bagi mengelakkan diri mereka terdedah kepada penyakit berjangkit dengan tidak mandi – manda di kawasan banjir dan jangan menharungi air di kawasan banjir sekiranya tidak perlu. Sekiranya keadaan memerlukan seseorang itu mengharungi banjir, anggota yang luka perlu dibalut dengan kemas (tidak menyerap air) dan anggota yang terkena air banjir ketika mengharungi air di kawasan banjir perlu segera di basuh dengan sabun.
Amalan peningkatan kebersihan kendiri seperti membasuh tangan dengan sempurna menggunakan sabun sebelum memasak, membasuh seluruh kawasan rumah yang dilanda banjir dengan sempurna menggunakan sabun sekiranya air telah surut sebelum kembali menghuni rumah dan amalan lain yang berkesan perlulah senantiasa dipraktikkan.
Kementerian Kesihatan Malaysia dilihat sangat proaktif mengambil langkah kawalan semasa dan selepas banjir di mana petugas – petugas mereka melalui Pejabat Kesihatan Daerah di hantar setiap hari bagi memantau situasi di Pusat Pemindahan banjir dan menghantar petugas mereka menjalankan kerja-kerja disinfeksi di kawasan terlibat selepas air banjir mulai surut.
Ditulis oleh : Shazril Bahar bin Abd Manap.
Bahagian Kesihatan Persekitaran
Pusat Kesihatan Universiti UTHM.
Kemaskini : 14 November 2016.
Artikel asal ditulis : 7 Disember 2012.