ETIKA BATUK DAN BERSIN: KECIL PERKARA, BESAR KESANNYA
Oleh: Dr. Fatin Hazdzirah Binti Ismail, Pegawai Perubatan, Pusat Kesihatan Universiti UTHM
BATUK DAN BERSIN sering dianggap perkara remeh yang berlaku secara semula jadi. Namun, hakikatnya, dua tindakan kecil ini mampu menjadi punca utama kepada penularan penyakit berjangkit seperti influenza, COVID-19 atau penyakit tangan, kaki serta mulut (HFMD). Virus-virus ini boleh tersebar melalui titisan air liur atau aerosol halus yang terhasil semasa seseorang batuk atau bersin tanpa mengamalkan etika yang betul. Dalam suasana universiti yang padat dengan pelajar, pensyarah dan staf yang berinteraksi setiap hari, satu batuk kecil walaupun tanpa perlindungan boleh mencetuskan gelombang jangkitan yang tidak diingini. Apa yang kelihatan seperti bersin yang tampak comel di dalam kuliah pun mungkin menjadi titik mula kepada “drama wabak” dalam kampus.
Etika batuk dan bersin bukan sekadar soal kesopanan, tetapi merupakan tanggungjawab sosial dan langkah pencegahan kesihatan awam yang penting. Apabila seseorang perlu batuk atau bersin, cara terbaik ialah menutup mulut dan hidung menggunakan tisu atau sapu tangan bersih. Tisu yang telah digunakan hendaklah dibuang segera ke dalam tong sampah bertutup. Jika tiada tisu, batuk atau bersin perlulah dilakukan ke bahagian dalam siku, bukan pada tapak tangan, kerana tangan yang tercemar mudah memindahkan virus ke permukaan lain seperti meja, tombol pintu atau telefon bimbit.
Kemudian, tangan hendaklah dibersihkan dengan sabun dan air sekurang-kurangnya selama 20 saat. Jika anda merasakan kemudahan sabun dan air suka diakses, gunakan cecair pembasmi kuman berasaskan alkohol atau “sanitizer”. Satu perkara penting yang sering dilupakan ialah mengelakkan menyentuh muka, terutama mata, hidung dan mulut, selepas batuk atau bersin. Jika berada di kawasan awam seperti di dalam bilik kuliah, atau di ruang tertutup, jarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter daripada individu lain, khususnya apabila bergejala. Sikap prihatin ini mungkin kelihatan kecil, tetapi kesannya besar dalam memutuskan rantaian jangkitan.
Pelitup muka kini bukan lagi sekadar simbol pandemik, tetapi tanda prihatin terhadap kesihatan diri dan orang sekeliling. Jika mengalami batuk, selesema, sakit tekak atau demam ringan, pemakaian pelitup muka jenis tiga lapis atau “surgical mask” amat digalakkan. Tindakan ini bukan sahaja menahan titisan air liur daripada tersebar ke udara, tetapi turut melindungi individu lain yang mungkin mempunyai daya tahan tubuh yang lemah. Ia juga dapat mengurangkan risiko jangkitan kepada rakan sekuliah, rakan sebilik, mahupun pensyarah yang baik hati tetapi tidak semestinya kebal terhadap virus.
Pelitup muka perlulah dipakai dengan betul, menutupi hidung dan mulut sepenuhnya. Ramai yang tidak sedar bahawa memakai mask di bawah dagu bukanlah gaya terkini atau fesyen baharu — sebaliknya, ia hanya menjadikan mask tersebut tidak berfungsi dan mungkin juga lebih kotor daripada yang disangka.
Meskipun batuk dan selsema sering dianggap ringan, ia boleh membawa komplikasi yang lebih serius seperti jangkitan paru-paru, radang sinus dan penularan kluster dalam komuniti kita. Sekiranya seseorang mengalami gejala yang kuat seperti demam, batuk berterusan atau sakit badan, atau telah disahkan positif bagi penyakit berjangkit seperti influenza atau COVID-19, langkah paling bertanggungjawab ialah melakukan pengasingan kendiri.
Dalam tempoh ini, individu dinasihatkan untuk berehat secukupnya, minum air dengan banyak dan mengelakkan sebarang interaksi rapat dengan orang lain. Menghadiri kuliah atau mesyuarat dalam keadaan bergejala bukanlah satu tindakan bijak, kerana risiko menularkan penyakit kepada ramai pihak jauh lebih besar berbanding kepentingan hadir secara fizikal. Dalam erti kata lain, lebih baik “skip class” untuk pulih daripada “spread class” dengan virus.
Etika batuk dan bersin yang betul adalah cerminan keperibadian dan tanggungjawab sebagai warga universiti yang berilmu. Ia menggambarkan kesedaran bahawa kesihatan bukan hanya soal individu, tetapi kesejahteraan seluruh komuniti. Dengan hanya menutup mulut ketika batuk, memakai pelitup muka apabila bergejala, serta menjaga kebersihan tangan, kita sebenarnya telah membantu memutuskan rantaian jangkitan yang boleh menjejaskan ramai orang.
Tuntasnya, amalan ini mudah, murah dan tidak memerlukan sebarang sijil khas untuk diamalkan. Hanya perlukan sedikit kepekaan dan kesedaran sivik. Jadi, marilah kita semua mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul. Lagipun, tiada siapa yang mahu dikenang sebagai “orang misteri yang memulakan kluster batuk,” bukan?