SIJIL CUTI SAKIT vs TIME SLIP
Oleh: Dr. Fatin Hazdzirah Binti Ismail, Pegawai Perubatan, Pusat Kesihatan Universiti UTHM Kampus Cawangan Pagoh
SIJIL CUTI SAKIT atau popular dikenali dengan singkatan MC – medical certificate; merupakan dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh pegawai perubatan bagi mengesahkan bahawa seseorang individu itu tidak sihat dan memerlukan rehat untuk tujuan pemulihan. Ia bukan sekadar helaian sokongan untuk menangguhkan kuliah atau menghalalkan ketidakhadiran ke tempat kerja, tetapi satu alat penting dalam menjaga kesihatan diri serta melindungi orang di sekeliling.
Jika anda fikir anda mampu hadir ke kuliah atau pejabat dalam keadaan sakit, itu bukanlah tanda dedikasi luar biasa, sebaliknya perbuatan ini berisiko memanjangkan tempoh pemulihan dan berpotensi menyebabkan sesuatu penyakit itu semakin melarat.
Sijil cuti sakit membolehkan penangguhan tugasan atau ketidakhadiran ke organisasi tanpa menjejaskan rekod perkhidmatan, dengan syarat ia diperoleh secara sah. Bagi kebanyakan individu, sijil ini berperanan melindungi hak seseorang serta menjelaskan ketiadaan daripada tanggungjawab harian. Walau bagaimanapun, sijil sakit hanya dikeluarkan berdasarkan penilaian klinikal profesional. Doktor akan menilai simptom, melakukan pemeriksaan fizikal dan jika perlu, mencadangkan ujian lanjut sebelum mengeluarkan sijil cuti sakit ini. Ia bukan proses automatik dan sememangnya bukan perkhidmatan “kalau jumpa doktor, mesti dapat MC”. Manakala dalam situasi terdapat keraguan kesahihan sijil cuti sakit, pihak majikan boleh menghubungi klinik tersebut untuk pengesahan.
Sedar atau tidak, setiap sijil mempunyai nombor siri yang unik dan perlu direkodkan untuk tujuan dokumentasi oleh pihak klinik atau pusat kesihatan. Penting untuk difahami bahawa sijil sakit bukan sesuatu yang boleh dipalsukan atau digunakan sewenang-wenangnya. Penggunaan sijil palsu atau tidak sah boleh membawa implikasi undang-undang serta tindakan sama ada dari segi akademik atau di alam pekerjaan. Oleh itu, gunakan sijil ini secara berhemah dan jika anda benar-benar memerlukannya.
Pernah dengar istilah ‘slip masa’ atau time slip? Bagi sesetengah orang, ia mungkin kedengaran asing, manakala bagi yang lain, ia sering disalah anggap sebagai “MC versi pendek”. Slip masa merupakan antara dokumen sokongan yang dikeluarkan oleh fasiliti kesihatan bagi mengesahkan bahawa seseorang telah hadir mendapatkan rawatan atau menjalani urusan kesihatan dalam tempoh waktu tertentu, tanpa memerlukan cuti sakit sepenuhnya.
Tujuan utama slip masa adalah untuk memaklumkan pihak institusi pengajian atau majikan bahawa individu tersebut perlu meninggalkan kelas atau tempat kerja buat sementara waktu atas sebab kesihatan, dan bukannya tidak hadir sepanjang hari.
Perbezaan utama antara slip masa dan sijil cuti sakit terletak pada tahap ketidakupayaan untuk menjalankan aktiviti harian. Sijil cuti sakit dikeluarkan apabila seseorang didapati tidak sihat dan memerlukan rehat bagi tempoh tertentu, sama ada sehari atau beberapa hari. Sebaliknya, slip masa digunakan apabila individu masih mampu meneruskan aktiviti akademik atau pekerjaan selepas rawatan, tetapi memerlukan justifikasi untuk kelewatan atau ketiadaan sementara, contohnya bagi janji temu perubatan, rawatan pesakit luar atau pemeriksaan susulan.
Dari sudut perubatan, pemberian slip masa adalah lebih sesuai dalam keadaan di mana simptom adalah ringan, terkawal, dan tidak menjejaskan keupayaan fungsi keseluruhan individu. Dalam situasi ini, pemberian sijil cuti sakit adalah tidak wajar kerana individu tersebut masih layak untuk hadir ke kelas atau bekerja selepas tempoh rawatan.
Hakikatnya, slip masa bukan jalan pintas untuk cuti, dan bukan juga pengganti sijil cuti sakit. Slip ini wujud dengan tujuan yang lebih spesifik dan berperanan penting dalam mengurus kehadiran jika seseorang itu perlu mendapatkan rawatan kesihatan tanpa menjejaskan tugasannya sepanjang hari. Begitu juga dengan sijil cuti sakit. Dua dokumen penting ini bukan tiket percuma untuk lari daripada tanggungjawab, tetapi ruang untuk badan berehat dan pulih dengan betul. Gunakanlah ia dengan jujur dan berhemah. Salah guna sijil sakit mungkin nampak remeh, tetapi akibatnya boleh menjejaskan integriti diri sendiri.
Ingat, badan yang sihat itu aset, bukan alat untuk diuji kesabarannya. Jangan tunggu sampai sakit betul-betul barulah sedar bahawa rehat itu perlu. Sijil sakit sepatutnya membantu, bukan memakan diri.
Rujukan :
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2019 Pelaksanaan Waktu Bekerja Fleksi (WBF) Di Agensi Kerajaan Persekutuan https://docs.jpa.gov.my/docs/pp/2019/faq_pp052019.pdf m/s 6 : Soalan 13
Peraturan Mengenai Kebenaran Untuk Meninggalkan Pejabat Dalam Waktu Bekerja Di Bawah Perintah Am 5 Bab G - Mematuhi Waktu Bekerja https://docs.jpa.gov.my/docs/se/2009/se14122009.pdf
Peraturan Berkaitan Penerimaan Cuti Sakit Swasta Untuk Tujuan Kemudahan Cuti Sakit https://docs.jpa.gov.my/docs/se/2022/se_18022022.pdf